Pemain berusia 18 tahun itu melakar kejayaan gemilang selepas merangkul kejuaraan remaja dunia untuk kali kedua di Markham, Kanada Ahad lalu selain menjadi pemain pertama negara membawa pulang pingat emas daripada Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires bulan lalu.

Kejayaan itu menyaksikan dia menamatkan persaingan di peringkat remaja dengan keputusan memberangsangkan dan kini sedang dalam fasa peralihan ke skuad senior.

“Semuanya boleh berlaku, saya juga boleh menjadi pencabar pingat dalam Sukan O­limpik Tokyo 2020. Kenapa perlu tunggu 2024 sedangkan saya boleh bersaing dalam tempoh dua tahun dari sekarang.

“Masa adalah emas, saya yakin saya perlu bersedia untuk pergi dan bertarung,” katanya ketika ditemui selepas tiba dari Markham di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Sebelum ini, jaguh No.1 negara Chong Wei percaya Jin Wei mampu menjadi sandaran utama negara untuk membawa pulang pingat emas dari Sukan Olimpik Paris 2024 selepas pemain itu merangkul kejuaraan dunia pe­ringkat remaja buat kali kedua.

Kali pertama Jin Wei merangkul gelaran juara remaja dunia adalah di Lima, Peru pada 2015.

Jin Wei juga menyifatkan 2018 sebagai tahun paling cemerlang buat dirinya kerana merupakan tahun terakhir dia beraksi di peringkat remaja sebelum melangkah ke peringkat lebih tinggi.

“Tahun yang mengagumkan buat saya. Pada awal tahun saya banyak beraksi di peringkat senior dan pengalaman diraih di sana digunakan sebaik mungkin untuk persaingan peringkat remaja.

“Paling penting selepas ini, saya tidak boleh terlalu terbawa-bawa dengan kejayaan ini dan hanya menjadikannya sebagai batu loncatan untuk memasuki peringkat senior,” katanya yang akan bercuti selama dua hari sebelum beraksi dalam Korea Masters minggu hadapan.