Juara remaja dunia 2015 Jin Wei, yang diletakkan selaku pilihan keempat kejohanan, hanya memerlukan 20 minit untuk menewaskan pemain bukan pilihan dari Kanada, Katie Ho-Shue 21-12, 21-16 untuk berdepan cabaran seorang lagi pemain Kanada, Catherine Choi yang menundukkan wakil Amerika Syarikat (AS), Lauren Lam, 21-18, 21-11.

Jun Hao yang juga juara remaja Asia tidak berdepan masalah untuk menundukkan Nguyen Hai Dang dari Vietnam, 21-12, 21-16 untuk berdepan cabaran Johnny Torjussen dari England yang mengetepikan Markus Barth dari Norway 23-25, 21-17,21-14.

Ketua jurulatih skuad remaja negara Kwan Yoke Meng berkata, pihaknya menetapkan sasaran minimum layak ke separuh akhir buat Jin Wei.

Bagaimanapun, pada ketika ini sukar untuk dinilai tahap sebenar permainannya kerana dia hanya berdepan lawan mudah.

“Saya berharap dia akan capai sasaran, dan mungkin lebih baik.

“Buat masa sekarang, lawan dia bukan dalam kalangan pemain yang kuat, jadi sukar untuk dinilai tahap permainan sebenar tetapi saya berharap dia boleh dapat rehat yang cukup selain menjalani pemulihan segera seandainya ada kecederaan kecil,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Turut mara ke pusingan keempat ialah Eng Sin Jou selepas mengetepikan cabaran pemain Bulgaria, Maria Delcheva 21-16, 19-21, 21-19 selain Eoon Qi Xuan yang menewaskan Liana Lencevica dari Latvia 21-5, 21-11.

Sim Fong Hau juga mara ke pusingan keempat selepas menang 18-21, 21-12, 21-11 ke atas Chow Hin Long dari Hong Kong.