Pemain berusia 18 tahun itu tidak berdepan laluan sukar apabila mudah mengetepikan cabaran pemain Taiwan, Pai Yu Po 21-11, 21-11 untuk bertemu bekas pemain No.1 dunia dari Thailand, Ratchanok Intanon.

Bekas juara dunia itu berjaya ke suku akhir selepas mengetepikan Kristy Gilmour dari Scotland 9-21, 25-23, 21-14 dalam perlawanan yang memakan masa hampir sejam.

Pertemuan di antara Jin Wei dan Ratchanok merupakan yang pertama buat kedua-dua pemain.

“Esok saya akan bertemu Ratchanok, saya merupakan pemain bukan pilihan, jadi saya akan cuba berikan cabaran kepadanya,” katanya selepas tamat permainan.

Turut ke suku akhir, pasangan beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang berjaya menundukkan rakan senegara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin 21-17, 21-17 dalam tempoh setengah jam.

Dalam pada itu, pasangan beregu wanita negara, Lim Yin Loo-Yap Cheng Wen tewas 14-21, 18-21 kepada pilihan ketujuh dari China, Tang Jinhua-Yu Xiaohan.-UTUSAN ONLINE