Selain Jin Wei, edisi ke-24 Kejohanan Badminton Dunia turut menyaksikan peningkatan pasangan muda, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang mengejutkan pilihan ke-12 dari Taiwan, Lee Jhe-Huei-Lee Yang 16-21, 21-18, 21-19 dalam beregu lelaki.

Tiga lagi wakil Malaysia turut mengesahkan tiket ke pusingan ketiga iaitu pemain tunggal dalam perseorangan lelaki, Liew Daren, pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean.

Jin Wei, 18, memenuhi harapan jurulatihnya, Tey Seu Bock apabila mengetepikan Ohori 21-18, 22-20 di Arena Youth Olympics Sport Park, iaitu kemenangan pertamanya dalam tiga pertemuan mereka.

Juara remaja dunia 2015 itu bakal berdepan tugas getir esok apabila menentang juara bertahan yang juga pilihan kelapan, Nozomi Okuhara.

“Saya sebenarnya bernasib baik memenangi perlawanan hari ini.

“Dia (Ohori) cuba bangkit pada kedudukan 20-20 (set kedua). Keputusan boleh berubah sekelip mata tetapi bernasib baik saya berjaya fokus dan menang straight set.

“Sebelum masuk gelanggang, saya menonton permainan Aya dalam tiga atau empat perlawanan, ia amat membantu. Dia juga agak bergelut dengan permainannya, jadi saya menyifatkan diri saya sebagai sangat bertuah hari ini,” ujar Jin Wei kepada pemberita.

Ditanya mengenai pertemuan menentang seorang lagi bintang Jepun, Okuhara, Jin Wei berkata, sukar diramal kerana kedua-dua mereka tidak pernah bertemu.

“Ini pertemuan pertama kami, jadi saya bersedia untuk perlawanan seterusnya.

“Saya fikir, saya perlu bersiap sedia menjangkakan pertarungan yang panjang...tidak mustahil tiga jam,” katanya, yang mengharapkan tuah akan mengiringinya sekali lagi esok.

Pemain No. 6 dunia, Okuhara terkenal dengan karakter suka bermain rali panjang dan tidak mengenal erti putus asa.