Jin Wei yang merupakan juara remaja dunia dua kali melakar kejutan dengan menundukkan Yamaguchi yang juga pilihan ketiga kejohanan dengan keputusan 21-14, 21-12 dalam aksi yang berlangsung di Axiata Arena, di sini.

Ia merupakan kali pertama dia menundukkan pemain yang berada dalam kelompok lima terbaik dunia.

"Bagi saya ini adalah persembahan terbaik saya kerana kali pertama berjaya menewaskan pemain yang berada dalam kelompok lima terbaik dunia.

"Sebelum ini memang saya pernah kalah kepada Yamaguchi, (Nozomi) Okuhara, (P.V) Sindhu dan (Carolina) Marin tetapi saya akan cuba untuk tidak lagi kalah kepada pemain-pemain utama dunia selepas ini," kata Jin Wei yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Remaja 2018.

Keputusan itu menyaksikan dia menjadi satu-satunya wakil negara dalam acara perseorangan wanita yang berjaya melangkah ke pusingan kedua selepas Lee Ying Ying tewas 11-21, 21-15, 17-21 kepada Evgeniya Kosetskaya dan Soniia Cheah tewas kepada Gao Fangjie 21-19, 5-21, 13-21.

Jin Wei memberitahu, selepas hampir setengah tahun tidak beraksi dalam kejohanan di peringkat senior, dia berazam untuk menjadikan Malaysia Masters sebagai medan untuk melihat tahap permainan sebenarnya selepas meninggalkan peringkat remaja.

"Ini merupakan kejohanan pertama selepas lebih setengah tahun tidak bermain di peringkat senior, jadi saya mahu terus perbaiki segala kelemahan yang ada," katanya. - UTUSAN ONLINE