Membariskan nama besar seperti juara Olimpik dan dunia, Nozomi Okuhara; pemain No. 2 dunia, Akane Yamaguchi serta beregu kedua dunia, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota, Jepun menamatkan kisah dongeng Thailand dengan kemenangan 3-0.

Ini adalah kejuaraan keenam negara itu dalam kejohanan badminton berpasukan wanita dunia selepas muncul juara 1981, 1978, 1972, 1969 dan 1966.

Bagi Thailand, biarpun mengecewakan 10,000 penonton yang membanjiri Impact Arena hari ini, namun kejayaan melangkah ke final selepas menumbangkan juara 14 kali, China 3-2 di separuh akhir semalam adalah pencapaian terbaik dalam sejarah badminton negara itu.

“Ia sangat menyedihkan. Saya gagal menghadiahkan mata pertama buat pasukan.

“Dia (Akane) memberi lebih tumpuan berbanding saya,” kata Ratchanok Intanon.

Kekalahan juara dunia 2013, Ratchanok 15-21, 19-21 kepada Akane meletkakan Jepun di landasan terbaik, sebelum Yuki-Sayaka menewaskan Jongkolphan Kititharakul-Puttita Supajirakul 21-18, 21-12 untuk mata kedua pasukannya.

Nozomi nyata bukan tentangan Nitchaon Jindapol apabila menang mudah 21-12, 21-9 untuk mengesahkan kejuaraan pasukannya.

Jepun yang dipimpin legenda badminton Korea Selatan, Park Joo Bong kini berada pada kedudukan terbaik untuk menjulang Piala Thomas apabila turun menentang China esok.

Skuad lelaki Jepun sebelum ini sudahpun memahat sejarah muncul juara buat kali pertama pada 2014 selepas mengalahkan Malaysia 3-2 dalam perlawanan akhir di New Delhi.

Jika berjaya menumbangkan China, ia akan memahat sejarah badminton dunia kerana negara matahari terbit itu bakal membawa pulang gelaran berganda buat kali pertama. “Kami tidak pernah terfikr tentang final atau sejarah, kami cuma memberikan aksi terbaik apabila memasuki gelanggang, tanpa rasa takut.

“Saya sendiri bukan pilihan utama untuk beraksi menentang Indonesia (separuh akhir), tetapi dipilih  menggantikan Kazumasa Sakai. Ia satu penghormatan, jadi mengapa saya harus rasa takut,” kata perseorangan ketiga Jepun, Kanta Tsuneyama – MINGGUAN