Katanya, pada tahun lepas, pemain berkenaan berada di anak tangga ke-187 dunia selepas bebas daripada peng­­gantungan kera­na masalah doping yang me­nyebabkannya dilarang beraksi sementara.

“Hari ini legenda badminton negara itu membuktikan dia mampu melakukannya selepas bersusah payah berjuang untuk merampas kembali takhta No. 1 dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Norza berada di sini kerana menyaksikan Chong Wei ber­aksi dalam perlawanan akhir Terbuka Indonesia semalam, yang mana dia menewaskan pemain Denmark, Jan O Jorgensen 17-21, 21-19, 21-17.

Kemenangan itu melonjakkan kedudukan pemain ber­usia 34 tahun itu ke anak tangga nombor satu dunia, merampas kedudukan yang disandang oleh pemain China, Chen Long apabila ranking dunia terbaharu dikeluarkan tidak lama lagi.

Chen Long tidak menyertai kejohanan di Jakarta ini kerana cedera namun Norza tetap ber­anggapan tidak mudah untuk menjuarai Terbuka Indonesia kali ini kerana banyak kejutan berlaku apabila ada pemain terkemuka dunia seperti Lin Dan terpaksa pulang awal setelah tewas kepada pemain tidak ternama.

“Ini menunjukkan keyakinan tinggi Chong Wei untuk membuktikan kemampuannya menjuarai kejohanan ini untuk kali keenam dan seterusnya mening­katkan kedudukannya dalam badminton dunia,” katanya sambil memuji semangat kental yang ditunjukkan oleh pemain itu.

Katanya, BAM kini sedang menunggu kenyataan rasmi dari Persekutuan Badminton Dunia (WBF) bagi mengesahkan kedudukan terbaharu Chong Wei dalam ranking dunia.

“Mungkin akhir bulan ini atau awal bulan depan pengesahan rasmi mengenai kedudukan itu akan dikeluarkan. Tetapi dapat masuk final dalam kejohanan ini sudah melayakkan Chong Wei sebagai pemain No. 1 dunia,” ujarnya lagi. – UTUSAN