LEE CHONG WEI berharap skuad badminton negara dapat mencipta sejarah tersendiri di pusingan akhir Piala Thomas 2018 yang sedang berlangsung di Bangkok.

Jaguh beregu negara, Goh V Shem meraikan ulang tahun ke-29 hari ini bersama pengurus pasukan yang juga Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai.

Pasangan V Shem, Tan Wee Kiong pula genap 29 tahun esok, manakala Iskandar Zulkarnain Zainuddin menyambut ulang tahun ke-27 pada 24 Mei, diikuti jurulatih beregu, Paulus Firman pada 25 Mei. 

“Malam ini pasukan akan keluar makan untuk meraikan mereka yang menyambut ulang tahun di sini.

“Saya doakan semoga ia menjadi sambutan ulang tahun terbaik buat mereka dan kami semua akan mengharungi kejohanan yang baik,” kata Chong Wei ketika ditemui pada sesi latihan di Gelanggang Badminton Hippocampus di sini, hari ini.

Mengenai perlawanan pertama menentang Rusia esok, pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu berkata, pemain Malaysia sudah dipersiapkan secara mental dan fizikal untuk berdepan sesiapa sahaja.

“Ya, sesi latihan sudah berjalan sejak di Kuala Lumpur, setiap hari, namun untuk kejohanan seperti Piala Thomas, kami juga memperbanyakkan aktiviti berpasukan bagi memupuk semangat sebagai satu pasukan.

“Saya sendiri beberapa kali bercakap kepada pemain muda, kalau mereka ada masalah yang boleh kami bantu, kalau mereka takut atau tertekan. Saya sebagai kapten dan Wee Kiong penolong ketua pasukan, banyak memberi nasihat kepada pemain-pemain  ini untuk menyiapkan mereka menghadapi satu pertarungan penting.

“Piala Thomas tidak mudah, dan esok kami akan bertemu Rusia  ia satu cabaran hebat, namun saya percaya kami sudah bersiap sedia untuk akhirnya turun bertarung selepas beberapa bulan menyiapkan diri,” katanya lagi.-UTUSAN ONLINE