Kedua-dua pemimpin tersebut sudahpun mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, yang menyifatkan kemelut badan badminton itu hampir menemui penyelesaian.

“Saya rasa penyelesaiannya sudah tidak berapa jauh dan begitu hampir.

“Ada (pertemuan) tetapi biarlah perkara yang di­bincangkan itu antara saya de­ngan kedua-dua individu tersebut,” kata Khairy ketika ditemui dalam Program Jalan Amal ‘The Rock Walk 2017’ Kempen Kesedaran Autisme’ di sini, hari ini.

Sukan badminton tanah air sebelum ini dikejutkan de­ngan kewujudan surat ‘gentlemen’s agreement’ antara pemimpin kanan BAM mengenai siapa yang bakal menggantikan Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff yang berehat daripada memegang jawatan itu sejak Oktober 2015.

Tempat Tengku Maha­leel ketika ini dipangku Mohamed Al Amin, yang merupakan Timbalan Presiden, jawatan sama yang diduduki Moha­mad Norza.

Perjanjian tersebut dikatakan telah dipersetujui bersama oleh Tengku Mahaleel, Mohamad Norza serta ‘orang atas’ di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), yang mana perubahan pu­cuk pimpinan BAM akan di­buat selepas tamat Sukan ­Olimpik 2016 atau ber­akhirnya penggal jawatankuasa sedia ada tahun ini.

Berdasarkan kepada perjanjian tersebut, Mohamed Al Amin diberi tugas memangku jawatan presiden se­belum peralihan kuasa dilaksanakan de­ngan Mohamad Norza sepatutnya mengambil alih peranan tersebut dalam pemi­lihan akan datang.

Mohamed Al Amin bagaima­napun menegaskan, beliau tidak terlibat dengan perjanjian ber­kenaan, malah berminat untuk menduduki kerusi No. 1 BAM apabila pemilihan diadakan pada 29 April ini.

Sekiranya pemilihan berlaku dalam Me­syuarat Agung Tahunan kali ini, ia adalah kali pertama pertan­­dingan diadakan dalam tempoh 32 tahun dengan kali terakhir ketika Tan Sri Elyas Omar mencabar penyandang jawatan, Tan Sri Mohd. Khir Johari dan menang menerusi dua undi.

Sementara itu, Mohamed Al Amin ketika dihubungi me­ngakui, sudah bertemu Khairy, namun enggan mengulas butiran perjumpaan, sebaliknya menegaskan, semua hanya akan dimaklumkan selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Norza.

“Sudah jumpa (Khairy), harap bersabar. Saya akan maklum minggu depan selepas bertemu Datuk Seri Norza. Sekarang tiada bayangan,” katanya kepada ­Mingguan Malaysia.