Kedua-dua pemimpin berkenaan mengesahkan persefahaman sudah dicapai mengenai siapa bakal menduduki kerusi No. 1 BAM.

Bagaimanapun, katanya mereka perlu bertemu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin terlebih dahulu bagi memaklumkan mengenai keputusan yang dicapai.

“Sebagai menghormati menteri, kami akan bertemu beliau bagi memaklumkan mengenai perkembangan ini. Apa yang saya boleh katakan, isunya sudah selesai kerana kami sudah mencapai persefahaman.

“Apa yang kami bincangkan dalam pertemuan hari ini akan dimaklumkan kepada menteri dan selepas itu kami akan umumkan kepada pihak media,” kata Mohamed Norza ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sementara itu, Mohamed Al Amin yang juga Pemangku Presiden BAM berkata, pertemuan itu berlangsung dalam suasana baik dengan kepentingan badminton negara kekal menjadi keutamaan mereka.

“Kami sudah mencapai persefahaman dalam hal ini.

“Disebabkan kami ada bertemu dengan menteri (secara berasingan) sebelum ini, jadi adalah lebih elok jika kami maklumkan kepada beliau dulu, selepas itu kita akan umumkan,” katanya. - UTUSAN ONLINE