Dalam Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, minggu lalu, Iskandar beraksi dalam tiga perlawanan namun prestasi yang dipamerkan kurang meyakinkan.

Daripada tiga perlawanan itu, dia berjaya meraih dua kemenangan iaitu ketika berdepan Myanmar serta Taiwan namun tewas dalam aksi pembukaan menentang Thailand.

Pemain berusia 27 tahun itu mengakui tidak berpuas hati dengan prestasinya dan perlu menukar corak permainan dalam latihan memandangkan tidak banyak kejohanan akan disertainya sebelum aksi Piala Thomas, 20-27 Mei ini.

“Buat masa ini, tiada sebarang jaminan saya akan beraksi pada Piala Thomas.

“Selepas ini, tidak banyak kejohanan yang akan saya sertai dan persembahan ketika sesi latihan akan menjadi pengukur saya ke Bangkok,” katanya ketika ditemui.

Skuad lelaki negara berjaya mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Tho­mas secara merit selepas melangkah ke separuh akhir Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, minggu lalu.

Bagaimanapun, mereka gagal melangkah ke final selepas tewas 1-3 kepada China.