Mengikut syarat baharu yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Iskandar Zulkarnain terpaksa beraksi dalam kejohanan tahap empat sehingga enam ekoran kedudukan ranking dia jatuh ke tangga ke-99.

"Tahun ini sangat mencabar. Tidak banyak kejohanan yang boleh saya sertai kerana peraturan baharu (dikeluarkan BWF) menyebabkan saya susah untuk beraksi di kejohanan bertaraf tinggi.

"Dalam hal ini saya tidak boleh menyalahkan sesiapa, saya sendiri perlu lebih bersungguh-sungguh untuk menaikkan prestasi sendiri.

“Saya tidak boleh bazirkan peluang yang diberikan dan perlu bermain bersungguh-sungguh," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) baru-baru ini.

Iskandar Zulkarnain berkata, dia akan menggunakan pengalamannya beraksi di peringkat tertinggi sebelum ini untuk kembali kompetitif di gelanggang dalam misinya untuk menaikkan ranking dunia.

Jelasnya ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek banyak memberi dorongan dan semangat kepadanya supaya tidak berputus asa walaupun terpaksa bermula daripada bawah.

"Yang menambah semangat saya adalah jurulatih Misbun, dia selalu nasihatkan saya supaya jangan malu dan segan walaupun terpaksa bermula daripada bawah," katanya.

Ranking dunia pemain berusia 26 tahun itu jatuh berikutan kurang penyertaan dalam kejohanan bertaraf siri super kerana kecederaan teruk di bahagian belakang badan.

Mengikut struktur baharu kejohanan BWF, kategori 1 termasuk kejohanan akhir musim menawarkan hadiah wang tunai US$1.5 juta (RM6.038 juta), kategori 2 dengan tiga kejohanan menyediakan hadiah wang tunai US$1 juta (RM4.024 juta).

Lima kejohanan dipilih untuk kategori 3 dengan tawaran hadiah wang tunai US$700,000 (RM2.81 juta) setiap satu dan tujuh kejohanan dalam kategori 4 (US$350,000/RM1.40 juta) dan 11 kejohanan dalam kategori 5 iaitu hadiah wang tunai US$150,000 (RM603,846) setiap kejohanan.

Kategori 6 adalah kategori terbuka dengan negara anggota BWF perlu memohon pengiktirafan.

Kategori 1 hingga 3 hanya melibatkan pemain perseorangan ranking dalam kelompok antara lapan hingga 10 manakala 15 beregu terbaik dalam ranking dunia layak menyertai kategori tersebut.

Iskandar Zulkarnain akan memulakan saingan tahun ini dengan menyertai pusingan kelayakan Terbuka India iaitu kejohanan tahap empat pada 30 Jan hingga 4 Feb ini.- BERNAMA