Kebimbangan itu berasas apabila nama-nama seperti Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran) bertindak meninggalkan badan induk sukan badminton negara itu.

Lebih membimbangkan, apabila pasangan beregu lelaki No. 1 negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dikatakan bakal mengikut jejak langkah mereka dalam tempoh terdekat ini, selain pendekatan baharu BAM yang mahu mengecilkan skuad kebangsaan dengan tumpuan utama kepada pemain muda.

Mungkin kebimbangan tercetus kerana mereka merupakan nama-nama besar dalam arena badminton tanah air, namun, keputusan yang dibuat berdasarkan kerelaan pemain sendiri yang mahu bergerak secara profesional.

Bagaimanapun, keputusan itu dilakukan ketika mereka sendiri berdepan prestasi tidak menentu terutama kegagalan beraksi cemerlang dalam beberapa siri kejohanan utama. Jika diperhalusi, skuad kebangsaan masih memiliki pemain yang mampu menggalas cabaran negara bagi aksi kelayakan nanti.

Ketiadaan Iskandar pada dasarnya tidak menjejaskan persiapan negara kerana Datuk Lee Chong Wei dan Lee Zii Jia adalah sandaran utama Malaysia untuk kelayakan, selain kehadiran bintang muda, Leong Jun Hao.

Juara remaja dunia dua kali serta pemenang pingat emas Sukan Olimpik Remaja 2018, Goh Jin Wei dan Soniia Cheah merupakan pertaruhan terbaik negara untuk perseorangan wanita. Bagi beregu lelaki, selain V Shem-Wee Kiong yang menghuni ranking ke-15 dunia, Malaysia memiliki Aaron Chia-Soh Wooi Yik (No.22 dunia ) dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (No.29 dunia ).

Ketiadaan Woon Khe Wei yang mengambil keputusan bersara selepas mengalami kecederaan untuk tempoh yang lama tidak memberi kesan besar kerana ketika ini pasangannya Vivian Hoo sedang membina gandingan cemerlang bersama Yap Cheng Wen di ranking ke-39 dunia, selain Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang menggalas tugasan sebagai gandingan utama negara.

Bagi acara beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai serta Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang berada dalam kelompok 30 terbaik dunia mampu dijadikan sandaran selepas ketiadaan Peng Soon-Liu Ying.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya sentiasa memberi peluang kepada pemain untuk meneruskan impian secara profesional kerana ia memberi kesan baik kepada badminton negara.

“BAM dalam proses mengecilkan skuad kebangsaan dengan fokus lebih kepada pemain muda tetapi tiada masalah untuk pemain senior terus kekal bersama kami selagi mereka boleh mengikut segala peraturan ditetapkan.

“Saya melihat perkara ini (pemain meninggalkan BAM) ada kebaikan iaitu Malaysia mempunyai peluang lebih besar untuk mendapatkan ramai pemain beraksi di kelayakan Sukan Olimpik,” katanya.