Kekalahan dua pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Datuk Lee Chong Wei menjadi petanda awal kesukaran Malaysia untuk mempertahankan tiga kejuaraan berturut-turut yang diraih sejak temasya Melbourne 2006, sekali gus gagal menamatkan kemarau emas empat hari kontinjen negara di Gold Coast.

Sentuhan bekas jurulatih dan jaguh beregu Malaysia, Tan Kim Her juga membolehkan gandingan R. Satwik-P. Ashwini menghadiahkan mata pertama buat India dengan menumpaskan Peng Soon-Liu Ying 14-21, 21-15, 15-21 dalam saingan beregu campuran.

Chong Wei yang masih gagal memenangi sebarang kejuaraan tahun ini kemudian dikejutkan dengan prestasi cemerlang pemain No. 2 dunia, K. Srikanth 17-21, 14-21 iaitu kekalahan pertamanya daripada lima pertemuan dengan jaguh perseorangan lelaki India itu.

Beregu perak Olimpik Rio, Goh V Shem-Tan Wee Kiong memberi sedikit harapan buat Malaysia dengan merapatkan kedudukan 1-2 selepas mengalahkan R. Satwik-S. Chirag Chandrashekhar 21-15, 22-20.

Soniia Cheah cuba memberi tentangan kepada Saina Nehwal dalam acara perseorangan wanita yang cukup mendebarkan, namun tewas 11-21, 21-19, 9-21 kepada bekas pemain No. 1 dunia itu selepas bertarung selama sejam, empat minit.

Ini adalah emas pertama buat India sejak acara berpasukan diperkenalkan dalam Sukan Komanwel pada 1978, manakala bagi Malaysia, kekalahan mempertahankan kejuaraan bermakna tiada pingat emas berjaya ditambah sejak kali terakhir meraih emas menerusi angkat berat pada 5 April lalu.

Kegagalan mempertahankan emas berpasukan campuran bagaimanapun tidak bermakna badminton sudah gagal, sebaliknya masih ada lima emas menjadi rebutan apabila saingan individu membuka gelanggang esok.

Badminton membawa pulang tiga emas pada temasya di Glasgow 2014 menerusi beregu lelaki, beregu wanita dan berpasukan.