Beberapa jam selepas Zii Jia, 21, menyingkirkan bintang Taiwan, Tien Chen 21-13, 21-13 pada pusingan pertama perseorangan lelaki, V Shem-Wee Kiong ditunjukkan jalan keluar oleh pilihan ketiga, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda dari Jepun 12-21, 16-21.

Pemain No. 35 dunia itu hanya mengambil masa 31 minit untuk mencatat kemenangan kedua dalam tiga pertemuan dengan Tien Chen selepas kali terakhir menewaskannya pada separuh akhir Terbuka Taiwan 2018, yang mana dia kemudian meraih gelaran pertama.

Zii Jia kini akan membuat perhitungan dengan pemain Thailand, Sitthikom Thammasin yang mara selepas mengetepikan Kazumasa Sakai dari Jepun 21-11, 21-19.

“Pada mulanya saya jangkakan perlawanan sengit tetapi saingan hari ini berpihak kepada saya. Ia adalah permulaan yang bagus.

“Saya tidak gentar menentang pemain yang memiliki ranking lebih tinggi, itu kerana anda akan sentiasa berdepan tekanan, tidak kira siapa lawan anda,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Turut mara beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang menewaskan pasangan China, He Jiting-Tan Qiang 21-17, 21-18.

Dua beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen turut melangkah ke pusingan kedua.

Mei Kuan-Meng Yean mengalahkan Ekaterina Bolotova-Alina Davletova dari Rusia 21-15, 21-17 manalala Vivian-Cheng Wen menang Agatha Imanuela-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia 21-13, 21-14.

Nasib tidak menyebelahi juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei yang tewas kepada pemenang pingat gangsa kejohanan dunia, He Bingjao dari China 21-16, 21-23, 20-22