Pemain No.7 dunia yang mengintai peluang untuk meraikan ulang tahun ke-35 dengan penuh bergaya tidak kesampaian selepas tunduk 17-21, 21-11, 19-21 kepada H.S Prannoy dari India dalam aksi di Odense Sports Park.

Kekalahan itu merupakan yang kedua buat Chong Wei kepada pemain berusia 25 tahun itu selepas kali terakhir tewas di Siri Super Premier Terbuka Indonesia.

Chong Wei yang merupakan juara dua kali (2005 dan 2011) kejohanan itu banyak melakukan kesilapan-kesilapan mudah sehingga memberikan mata kemenangan kepada pemain No.14 dunia itu.

Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu hampir meraih kemenangan ketika mendahului 13-10 pada set penentuan tetapi kesilapan yang dilakukannya membenarkan Prannoy memintas dengan kedudukan 18-13 sebelum meraih kemenangan 21-19.

Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan enggan mengulas panjang mengenai kekalahan itu, sebaliknya menyifatkan Chong Wei seperti hilang fokus semasa mendahului permainan 13-10.

Katanya, selepas mendahului permainan, pemain berusia 35 tahun itu banyak melakukan kesilapan mudah dan membuatkan lawannya meraih mata demi mata.

“Semestinya permainan Chong Wei masih baik tetapi selepas mendahului 13-10, saya lihat dia seperti hilang fokus, seperti tiada dalam perlawanan itu.

“Selepas itu, lawannya (Prannoy) mendahului 18-13. Saya rasa di situ bermulanya kekalahan Chong Wei. Dia cuba mengejar semula, tetapi gagal,” katanya.

Turut tersingkir, pasangan beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang tunduk 18-21, 17-21 kepada Naoko Fukuman-Kurumi Yonao dari Jepun.