Cita-cita besar bekas juara Sukan Komanwel 2002 dan Seluruh England 2003 ini disuarakannya selepas lebih seminggu menjalankan tugas sebagai jurulatih remaja di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) yang bakal memasuki Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara pula, April ini.

“Saya tengok pemain-pemain remaja kita ada pencapaian dalam Kejohanan Dunia dan Asia lalu dan perlu kita pertahankan untuk terus lahirkan juara baharu yang bukan sahaja handal bermain tetapi punya semangat juang tinggi selain bersikap berani.

“Kejohanan remaja pun agak banyak untuk mereka sertai dan fokus ter­tinggi saya ialah pas­tinya Kejohanan Remaja Dunia,” katanya ketika ditemui pada perhimpunan bulanan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan SSBJ yang turut dihadiri Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria hari ini.

Namun Hafiz, 36, mengakui masih cuba mengenal pasti sejauh mana prestasi anak-anak didiknya selepas mengambil keputusan menyertai SSBJ pada akhir bulan lalu apatah lagi belum ada sebarang kejohanan yang disertai skuad pelapis remaja itu.

“Saya hanya sahkan sertai SSBJ hujung Disember lalu. Jadi tidaklah kenal sangat pemain-pemain di sekolah ini. Cuma setakat yang saya tengok, mereka sudah ada asas permainan, boleh bermain dan saya sedang mendekati mereka,” katanya.

Hafiz yang turut mengumpul emas berpasukan Sukan SEA Filipina 2005 dan pi­ngat naib juara Piala Thomas 2002 membimbing kalangan pelajar tingkatan empat dan lima SSBJ bagi perseorangan lelaki dan perempuan.

“Saya akan cuba curahkan apa yang saya miliki daripada segi kemahiran dan pengalaman,” katanya yang menggantung raket selepas beraksi dalam acara beregu pada Master China, April tahun lalu dan kali terakhir dalam perseorangan pada 2012 gara-gara pembedahan tumit.

Sementara itu, seorang lagi jurulatih remaja BAM, Amelia Alicia Anscelly, 30, berkata, dia kembali ke pangkuan persatuan itu demi cita-citanya untuk terus berbakti kepada negara selepas menggantung raket pada April tahun lalu.

“Saya hendak membantu pemain-pemain remaja ini khususnya beregu perempuan, lagipun memang ini keinginan saya dan disokong oleh suami.

“Perancangan belum ada buat masa ini sebab kena jalani latihan terlebih dulu, kemudian baru tetapkan kejohanan untuk pemain,” kata gandingan Soong Fie Cho ini yang menjuarai Sukan SEA Singapura dan Grand Prix Emas Antarabangsa Syed Modi 2015.

Anak jati Kota Kinabalu, Sabah ini menganggap karier kejurulatihan negara lebih menarik minatnya walaupun pernah terfikir untuk terjun ke kelab profesional.