Mengakui amat sukar untuk membuat keputusan itu, bekas pemain kebangsaan berusia 35 tahun itu berkata dia terpaksa melakukannya kerana faktor usia serta keadaan fizikal semasanya.

“Selepas melakukan pembedahan akibat kecederaan kaki, saya cuba untuk kembali ke gelanggang selaku pemain perseorangan tetapi agak sukar dan kemudian saya beralih kepada acara beregu lelaki namun tetap tidak berhasil.

“Saya tidak dapat kembali kepada keadaan sebelum ini, mungkin atas faktor usia selain kurang latihan.

“Atas dasar itu saya mengambil keputusan untuk meninggalkan sukan ini selaku pemain dan memberi fokus kepada bidang kejurulatihan,” katanya ketika ditemui dalam majlis pelantikannya selaku duta produk Heat Tone keluaran MISB Resources Sdn. Bhd., di sini hari ini.

Muhammad Hafiz menandatangani kontrak selama dua tahun bersama syarikat itu dan akan menyertai pelbagai program promosi produk tersebut di seluruh negara.

Heat Tone merupakan produk krim panas yang direka khusus untuk kegunaan atlet bagi tujuan urutan atau mengurangkan kesakitan otot selain sesuai digunakan untuk menghalang gigitan nyamuk.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Hafiz berkata dia ditawarkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menjadi jurulatih di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Katanya, selepas mengadakan pertemuan dengan ketua jurulatih SSBJ, Kwan Yoke Meng, dia kini sedang dalam fasa meneliti tawaran yang dikemukakan kepadanya sebelum menyertai badan induk sukan badminton negara itu.

“Selepas ini saya akan bertemu dengan presiden (Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria) dan pe­ngurus besar (Michelle Chai) untuk perbincangan lanjut berhubung kontrak ini sebelum menyertai mereka selaku jurulatih pemain remaja,” katanya.