Juara Siri Super Premier All England 2003 itu memberitahu, banyak perkara yang perlu diselesaikannya terutama melibatkan pihak penaja kerana dirinya masih lagi seorang pemain yang mewakili sebuah kelab China.

Katanya, perbincangan awal bersama Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen hari ini berlangsung dengan baik dan pertemuan kedua akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi memutuskan perkara-perkara berkaitan.

“Saya sudah bersedia untuk menjadi jurulatih, perkara ini pernah saya bincangkan bersama Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (Presiden BAM) dan Frost selain saya juga pernah menawarkan diri untuk membantu pasukan kebangsaan.

“Pertemuan hari ini sangat positif tetapi masih terlalu awal untuk diputuskan kerana masih banyak proses yang perlu dilalui dan saya harap pertemuan kedua akan berlangsung dalam tempoh terdekat.

“Buat masa sekarang saya masih lagi pemain dan ada komitmen bersama penaja sehingga September ini, jika semuanya berjalan dengan baik mungkin dalam bulan sama saya akan mula bertugas,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Pertemuan hari ini antara Frost dengan Muhammad Hafiz adalah bagi membincangkan kemasukannya selaku penolong jurulatih perseorangan wanita yang diketuai Tey Seu Bock dengan bantuan Rony Agustinus.

Sementara itu, Mohamad Norza berkata, dia akan bertemu Frost esok bagi mendapatkan rumusan mengenai pertemuan di antaranya dengan Muhammad Hafiz bagi membolehkan penilaian dibuat segera.

“Saya sudah berjanji bertemu Frost esok untuk melihat apa permintaan Hafiz dan jika tiada masalah kita akan selesaikan segera perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat lebih ramai bekas pemain kebangsaan akan terlibat dalam proses menaikkan semula skuad badminton negara pada masa akan datang.

Katanya, hasil pertemuannya sebelum ini dengan beberapa bekas pemain, ternyata mereka mahu memberikan sumbangan kepada skuad kebangsaan termasuk menjadi jurulatih atau melibatkan diri dengan cara lain.

“Saya baru dua bulan menjadi presiden dan perubahan yang dilakukan ini adalah secara menyeluruh di peringkat senior dan mungkin lepas ini akan dilakukan kepada barisan pemain junior, jika ada keperluan, kami akan panggil bekas-bekas pemain kebangsaan,” katanya.