Badan induk sukan badminton negara juga menetapkan sasaran layak sekurang-kurangnya ke suku akhir bagi pasukan Piala Uber negara yang akan mula beraksi pada hujung minggu ini di Bangkok.

Pengurus pasukan Piala Thomas negara, Datuk Ng Chin Chai berkata, sasaran separuh akhir buat skuad Piala Thomas adalah sangat realistik memandangkan pencapaian terakhir negara di China, dua tahun lalu juga ialah separuh akhir.

Katanya, keseluruhan peminat badminton di negara ini tidak mahu melihat skuad badminton meraih kurang daripada separuh akhir berdasarkan kepada kekuatan sedia ada.

“Bagi BAM, separuh akhir adalah realistik kerana tidak terlalu rendah atau terlalu tinggi dan ia mampu dicapai.

“Sekiranya lebih daripada itu (final), ia adalah bonus dan sekiranya kurang, pasukan ini gagal,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Skuad Piala Thomas negara yang diketuai Datuk Lee Chong Wei bersama-sama Lee Zii Jia, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Leong Jun Hao, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Teo Ee Yi dan Mohd. Arif Ab. Latif diundi dalam Kumpulan D bersama juara bertahan Denmark, Algeria dan Rusia.

Pasukan Piala Uber yang dibarisi Soniia Cheah, Goh Jin Wei, Lee Ying Ying, S. Kisona, Vivian Hoo, Tee Jing Yi-Soong Fie Cho, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Goh Yea Ching berada dalam Kumpulan D juga bersama juara bertahan, China, Indonesia dan Perancis.

Sementara itu, Chin Chai berkata, tidak banyak perbezaan di antara pasukan 2014 dan 2018 kecuali empat tahun lalu, V Shem-Wee Kiong bukan pasangan utama negara kerana ketika itu Tan Boon Heong-Hoon Thien How adalah pasangan No.1 negara.

Katanya, sekarang ini Chong Wei masih lagi menjadi sandaran utama negara dengan gandingan beberapa pemain muda kecuali Iskandar yang pernah beraksi pada 2016.

“Perbezaan kali ini adalah banyak pemain muda dalam pasukan negara seperti Jun Hao dan Zii Jia.

“Paling penting ialah semangat berpasukan, mereka perlu berani dan yakin di antara satu sama lain,” katanya.