Dalam set pertama, Axelsen yang merupakan juara dunia baharu berjaya mengawal keseluruhan permainan dan memaksa Chong Wei bermain mengikut rentaknya sekali gus menang 21-14 sebelum bekas pemain No.1 dunia itu bangkit meraih kemenangan di set kedua.

Dalam set ketiga, pemain berusia 23 tahun itu sekali lagi menampilkan corak permainan konsisten di awal permainan sebelum Chong Wei cuba bangkit memberikan saingan namun pemain berusia 35 tahun itu terpaksa akur dengan kekalahan 14-21.

Keputusan itu menyaksikan Axelsen berjaya meraih kejuaraan pertamanya di Terbuka Jepun selepas menundukkan Chong Wei buat kali kedua daripada 11 pertemuan sebelum ini.

Chong Wei berkata, permainan yang ditampilkan Axelsen adalah jauh lebih baik berbanding sebelum ini terutama selepas merangkul kejuaraan dunia di Glasgow.

Bagaimanapun, dia tetap berbangga dengan pencapaiannya yang berjaya ke aksi final meskipun sedang bergelut untuk mencari semula keyakinannya selepas tersingkir di pusingan pertama Kejohanan Dunia, bulan lalu.

“Selepas kejohanan dunia, Axelsen nampak lebih yakin dan kita semua boleh tengok cara dia bermain hari ini.

“Saya cukup bangga dengan diri saya kerana boleh ke final dan boleh meraih semula keyakinan untuk beraksi.

“Selepas ini saya ada masa lebih kurang tiga minggu untuk lakukan persiapan sebelum ke Terbuka Denmark dan Perancis,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Jurulatih kebangsaan, Tey Seu Bock mengakui, prestasi semasa dan jurang usia menjadi penentu kepada keputusan perlawanan itu.

“Faktor usia memang tidak dapat dinafikan lagi, Viktor berusia 23 tahun, Chong Wei sudah berusia 35 tahun, jadi memang kelebihan buat Viktor dalam perlawanan ini.

“Kita perlu berikan pujian kepada juara kali ini (Axelsen) kerana dia menunjukkan peningkatan yang sangat ketara berbanding lapan bulan lalu, permainannya juga semakin meningkat selain konsisten sepanjang perlawanan,” katanya.