Kecemerlangan negara dike­tuai perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei yang berjaya me­nyingkirkan pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2018 dari China, He Bingjao 21-15, 21-16 untuk berdepan bekas juara dunia yang juga pilihan kelima dari Thailand, Ratchanok Intanon yang menundukkan pemain No.1 dunia, Tai Tzu Ying 21-13, 21-14.

Pemain berusia 19 tahun itu, bagaimanapun, menyifatkan dirinya bernasib baik untuk mara sejauh itu, namun, pada masa sama tidak begitu teruja dengan kemenangan ke atas Bingjao yang juga pemain No.7 dunia kali ketiga berturut-turut.

“Saya tidak begitu teruja de­ngan kemenangan ini kerana saya masih ada perlawanan, esok dan saya sama sekali tidak melihat diri saya sebagai ‘giant killer’ walaupun berjaya me­nyingkirkan ramai pemain pilihan.

“Memang tahun lepas saya kalah kepada Ratchanok tetapi saya tidak mahu fikir pasal itu lagi, saya harap dapat belajar sesuatu daripada dia kerana dia pernah menjadi juara dunia.

“Kalau saya boleh kekal konsisten, saya percaya saya boleh jadi lebih baik,” katanya ketika ditemui di Axiata Arena, di sini hari ini.
Perseorangan lelaki negara, Liew Daren turut mengesahkan slot empat terbaik selepas menyingkirkan pilihan kedua dari China, Shi Yuqi 21-12, 16-21, 21-11 untuk bertemu Son Wan Ho yang menewaskan K. Srikanth 21-23, 21-16, 21-17.

Turut ke separuh akhir ialah tiga pasangan beregu lelaki negara yang diketuai gandingan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin menjadi pasangan pertama melengkapkan kemaraan selepas mengejutkan pilihan kedua dari Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda 21-19, 21-16 untuk bertemu satu lagi pasangan negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menewaskan pilihan keempat dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-17, 21-19.

Pertemuan itu menyaksikan Malaysia sudah memiliki satu pasangan yang layak beraksi di pentas final yang akan berlangsung, Ahad ini.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong juga tidak ke­tinggalan melangkah ke separuh akhir dengan menyingkirkan pilihan ketiga dari Jepun, Hiroyuki Endo- Yuta Watanabe 22-20, 21-15.

Bagaimanapun mereka akan berdepan laluan sukar selepas dijadual berdepan pasangan No.1 dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo yang menang 21-13, 23-25, 21-14 ke atas pilihan ketujuh dari Jepun, Takuto Inoue-Yuki Kaneko.