Pemenang pingat perak Sukan Olimpik yang menjadi sandaran utama terkandas di separuh akhir kepada Marcus Ellis-Chris Langridge 21-15, 16-21, 15-21, sekali gus menyebabkan sasaran misi tiga emas oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) gagal dicapai.

Malaysia tidak pernah melepaskan kejuaraan beregu lelaki sejak gandingan Razif-Jalani Sidek muncul juara pada 1990, malah V Shem-Wee Kiong turun selaku penyandang gelaran dengan menang di Glasgow 2014.

Kegagalan itu hadir hanya lima hari selepas badminton negara terlepas emas yang sudah didominasi sejak 12 tahun lalu apabila kalah 1-3 kepada India dalam final berpasukan campuran.

“Memang saya kecewa dan kami perlu terima kekalahan ini selain kembali menjalani latihan untuk memperbaiki segala kelemahan.

“Saya akui, di set pertama permainan kami sangat menjadi dan saya sama sekali tidak menjangkakan mereka akan mengubah strategi pada set kedua dan ketiga. Selepas mereka mengubah corak permainan, kami banyak melakukan kesilapan dan jelas sekali mereka sangat konsisten dalam dua set itu,” kata Wee Kiong ketika dihubungi.

Keputusan buruk yang dicatat beregu pingat perak Sukan Olimpik itu di Gold Coast mencetuskan kebimbangan peminat badminton tanah air menjelang saingan Piala Thomas di Bangkok, 20-27 Mei ini.

Biarpun Datuk Lee Chong Wei berjaya ke final perseorangan lelaki, namun bekas pemain No. 1 dunia itu sebelum ini tewas kepada K. Srikanth dalam acara berpasukan.

Sementara itu, skuad badminton juga kehilangan satu lagi pingat emas yang disasarkan dalam beregu campuran selepas Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tewas di separuh akhir kepada Chris-Gabrielle Adcock 19-21, 17-21.

V Shem-Wee Kiong menutup kempen dengan meraih gangsa selepas menewaskan pasangan Sri Lanka, Sachin Dias-Buwaneka Goonethilleka 21-8, 21-13.