Dalam aksi yang berlanjutan hingga ke set penentuan itu menyaksikan pasangan No.2 negara itu menang 21-17, 18-21, 21-13 ke atas Boe-Mogensen yang juga pilihan kedua kejohanan.

"Luar biasa, saya sendiri pun tidak percaya kami mampu tewaskan mereka hari ini.

"Salah satu daripada sasaran kami di kejohanan ini ialah untuk menewaskan mereka dan kami berjaya melakukannya.

"Apabila kita yakin, semua perkara boleh dilakukan dengan baik dan kami berjaya bermain dengan baik hari ini," kata Ee Yi ketika ditemui selepas tamat permainan.

Sementara itu, Yew Sin memberitahu, keyakinan diri daripada awal permainan merupakan antara faktor yang mendorong kejayaan mereka hari ini.

Katanya, corak permainan bertahan yang dilakukan semasa perlawanan itu juga menjadi dan membuatkan lawan mereka berdepan tekanan terutama pada set ketiga.

"Pada set kedua, mereka sudah boleh baca permainan kami jadi pada set ketiga kami ubah strategi selain memberi tumpuan kepada corak permainan bertahan," katanya.

Mengiringi mereka ke pusingan kedua ialah pasangan beregu lelaki utama, Goh V shem-Tan Wee Kiong yang menang 21-15, 21-10 ke atas gandingan Tinn Isriyanet-Kittisak Namdash selain Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menang 21-16, 21-15 ke atas pasangan dari Amerika Syarikat (AS), Philip Chew-Ryan Chew.

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi pasangan Low Juan Shen-Chooi Kah Ming apabila mereka tewas 21-16, 18-21, 18-21 kepada Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto selain beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang turut ditunjukkan jalan pulang selepas tewas 8-21, 12-21 kepada Zhang Nan-Li Yinhui. - UTUSAN ONLINE