Ee Yi-Yew Sin melangkah ke pentas final selepas menang 21-6, 18-21, 21-19 ke atas rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, manakala, Marcus-Kevin menundukkan satu lagi wakil negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong 21-18, 24-22.

Ee Yi berkata, wakil Indonesia itu merupakan pemain handalan dunia yang memiliki pengalaman luas, tetapi, dia percaya peluang mereka ada walaupun lawan adalah pilihan bagi meraih kejuaraan.

Jelasnya, sepanjang kejohanan, mereka banyak mempamerkan peningkatan tetapi memerlukan strategi terbaik untuk menentang lawan seperti Marcus-Kevin sekiranya berhajat menjadi juara.

“Kami kena bangkit dengan strategi terbaik untuk lawan mereka kerana Marcus-Kevin adalah pemain No. 1 dunia dan memiliki pengalaman luas.

“Bagaimanapun, peluang tetap 50-50 buat kami, jadi sudah pasti kami akan berikan saingan sengit kepada mereka,” katanya ketika ditemui di Axiata Arena di sini, hari ini.

Harapan untuk menyaksikan lebih ramai wakil negara ke pentas final tidak kesampaian selepas beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, perseorangan wanita serta lelaki, Goh Jin Wei dan Liew Daren tersingkir di separuh akhir.