Pemain berusia 18 tahun itu mengakui, belum bersedia sepenuhnya untuk kembali menyertai kem latihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Katanya, biarpun telah menjalani pembedahan, Disember lepas, dia tetap bimbang masalah sinus kembali berulang sekali gus menjejaskan persiapannya dari sudut mental mahupun fizikal.

"Masalah sinus ini, saya sendiri tidak pasti, tidak tahu bila ia akan datang kembali. Pernah sebelum ini, saya kembali menyertai kem latihan dan ketika latihan hidung saya berdarah.

"Buat masa ini, saya belum bersedia (kembali ke BAM). Saya akan pastikan mental saya kuat, fizikal saya cerdas sebelum saya kembali menyertai BAM dan berada pada prestasi yang baik," katanya kepada Bernama.

Ee Wei yang digandingkan dengan Pearly Tan merupakan prospek baharu acara beregu wanita negara selepas mencipta kejayaan pada dua kejohanan besar tahun lepas. Ee Wei-Pearly muncul naib juara Kejohanan Badminton Remaja Asia dan Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Kanada, pada Julai dan November tahun lepas.

Berikutan pencapaian cemerlang itu, mereka diserap ke dalam skuad senior pada Disember dan di bawah seliaan ketua jurulatih Rosman Razak. Bagaimanapun, Ee Wei meninggalkan skuad badminton negara kerana bercuti panjang selepas menjalani pembedahan hidung.

Difahamkan, pemain berasal dari Melaka itu meninggalkan BAM pada Februari lepas dan dikehendaki melaporkan diri di kem latihan BAM, hari ini. - BERNAMA