Beregu campuran yang kembali digandingkan semula, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying terlebih dahulu memastikan kemaraan di pentas final selepas mudah menundukkan pasangan dari Thailand ,Nipitphon Puangpuapech-Jongkolphan Kititharakul dengan mencatat kemenangan straight set 21-15, 21-11.

Kemenangan itu menyaksikan pemenang pingat perak Olimpik Rio itu bakal bertemu Dechapol Puavaranukroh-Puttita Supajirakul dari Thailand yang turut mara setelah menewaskan satu lagi wakil negara Chen Tang Jie-Peck Yen Wei 21-19 21-13.

Liu Ying mengakui dia dan pasangannya kembali menunjukkan keserasian lebih baik daripada hari ke hari setelah digandingkan semula.

“Jika dibandingkan pada aksi pertama dalam kejohanan ini, kami semakin serasi dan berada di tahap keyakinan tinggi untuk bermain di pentas final esok. Di harap kami mampu memulakan tahun 2018 dengan sesuatu yang positif,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, bintang remaja Malaysia Leong Jun Hao terpaksa berhempas pulas sebelum mencatat kemenangan ke atas Kantaphon Wangcharoen dari Thailand 20-22 21-19 21-18 dalam perlawanan yang diheret sehingga rubber set.

Dia bakal bertemu pemain dari Indonesia Tommy Sugiarto yang berjaya menewaskan seorang lagi wakil negara Daren Liew 17-21 21-17 21-18. - UTUSAN ONLINE