Walaupun pasangan tersebut sudah meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), namun mereka masih memiliki ranking dunia yang baik dan berpotensi beraksi pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, kedudukan empat pemain itu, yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 setakat ini berada dalam program baharu kendalian MSN.

Namun, ia akan dibincang semula pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) kerana mereka sudah bergelar profesional.

“Kedua-dua beregu itu memang ada dalam senarai awal atlet Program Tier tetapi de­ngan perkembangan terbaharu (penarikan diri) ini kami perlu dapatkan pandangan BAM.

“Ada sesetengah atlet yang mungkin menolak tawaran program ini. Banyak kesan pro dan kontranya apabila ada atlet yang keluar persatuan sukan.

“Akhir Januari ini ini mungkin kami dapat rumuskan se­narai atlet yang menyertainya,” kata Shapawi dalam majlis Skim Bantuan Khas Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) di MSN, Bukit Jalil di sini.

Shapawi MSN menjangkakan Jawatankuasa Pemilihan yang dianggotai empat pemegang taruh utama sukan dapat memuktamadkan senarai atlet Program Tier yang menggantikan Program Podium pada akhir bulan ini.

Program ‘Tier Pertama’ melibatkan atlet ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 seperti berbasikal, badminton dan terjun manakala sukan Paralimpik merangkumi olahraga, renang, badminton, berbasikal dan powerlifting.

‘Tier Kedua’ pula merangkumi 17 jenis sukan pemenang pingat Sukan Komanwel dan Sukan Asia serta 10 jenis sukan pemenang pingat Sukan Para Asia 2018 serta bakal dipertan­dingan pada Sukan Asia dan Komanwel 2022.

‘Tier Ketiga’ bertumpu kepada sukan penyumbang pingat emas Sukan SEA/Para ASEAN 2017 dan bakal dipertandingkan dalam temasya sama di Filipina, November hingga Disember ini.

Dalam perkembangan lain, calon Pengerusi Yakeb, Datuk Seri Megat D’Shahriman Zaharudin meneruskan komitmen untuk menerajui yayasan itu apabila sekali lagi tampil memberi sumbangan bagi meringankan beban beberapa bekas atlet kebangsaan.

Seramai empat bekas atlet menerima bantuan daripada Yakeb hari ini.

Mereka ialah dua bekas atlet berbasikal iaitu Jusof Udin dan Ishak Alwi, bekas atlet olahraga Mohd. Shahrulhaizy Abd Rahman dan bekas atlet olahraga paralimpik Faridul Masri.

“OK (jika dipilih sebagai pengerusi), jika tiada rezeki pun tidak apa, yang penting atlet kita dapat dimajukan dan dibantu,” katanya yang pernah menyerahkan bantuan RM500,000 kepada Yakeb pada September lalu.