Kejohanan bertaraf Super 300 itu menyaksikan Kian Meng-Pei Jing menampilkan aksi cemerlang untuk menyingkirkan pasangan Indonesia, Akbar Bintang Cahyono-Annisa Saufika 21-13, 21-10 manakala Peng Soon-Liu Ying menewaskan beregu tuan rumah, Edward Lau-Alyssa Tagle 21-17, 21-15.

Kedua-dua pasangan itu akan bertemu buat kali kedua dengan Peng Soon-Liu Ying sebelum ini tewas kepada Kian Meng-Pei Jing dalam pertemuan terakhir pada Malaysia Masters 2016.

Turut ke suku akhir esok, perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang menyingkirkan pemain Jepun, Kazumasa Sakai 23-21, 21-16 untuk bertemu pemain Hong Kong, Angus Ng yang menang 21-16, 21-9 ke atas Lee Hyun Il.

Pemain berusia 21 tahun itu mengakui gembira dengan kemenangan tersebut dan akan terus memberikan aksi terbaiknya dalam perlawanan, esok.

“Saya tidak mahu terlalu banyak fikir dan saya akan terus beri fokus kepada permainan saya, esok,” katanya.

Mengiringi mereka pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menyingkirkan Mahiro Kaneko-Yunosuke Kubota 21-18, 17-21, 21-11 dan gandingan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang menang 21-13, 21-15 ke atas Akbar-Moh Reza Pahlevi Isfahani.

Pemenang pingat perak Sukan Olimik Rio, Goh V Shem-Tan Wee Kiong turut ke suku akhir selepas menang 21-17, 21-19 ke atas Manu Attri-B. Sumeeth Reddy. Bagaimanapun, beregu wanita, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen dan perseorangan lelaki, Chong Wei Feng terkandas. - UTUSAN ONLINE