Kekalahan dua pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Datuk Lee Chong Wei menjadi petanda awal kesukaran Malaysia untuk mempertahankan tiga pingat emas berturut-turut yang diraih sejak 12 tahun lalu.

Sentuhan bekas jurulatih dan jaguh beregu Malaysia, Tan Kim Her membolehkan gandingan R. Satwik-P. Ashwini menghadiahkan mata pertama buat India dengan menumpaskan Peng Soon-Liu Ying 14-21, 21-15, 15-21 dalam saingan beregu campuran.

Chong Wei yang masih gagal memenangi sebarang kejuaraan tahun ini kemudian dikejutkan dengan prestasi cemerlang pemain No. 2 dunia, K. Srikanth 17-21, 14-21 iaitu kekalahan pertamanya daripada lima pertemuan dengan jaguh perseorangan lelaki India itu.

Beregu perak Olimpik Rio, Goh V Shem-Tan Wee Kiong memberi sedikit harapan buat Malaysia dengan merapatkan kedudukan 1-2 selepas mengalahkan R. Satwik-S. Chirag Chandrashekhar 21-15, 22-20.

Sonia Cheah cuba memberi tentangan kepada Saina Nehwal dalam acara perseorangan wanita yang cukup mendebarkan, namun tewas 11-21, 21-19, 9-21 kepada bekas pemain No. 1 dunia itu.

Ini adalah emas pertama buat India sejak acara berpasukan diperkenalkan dalam Sukan Komanwel pada 1978. - UTUSAN ONLINE

KEPUTUSAN (akhir)

Beregu campuran: CHAN PENG SOON-GOH LIU YING kk R. Satwik-P. Ashwini 14-21, 21-15, 15-21

Perseorangan lelaki: LEE CHONG WEI kk K. Srikanth 17-21, 14-21

Beregu lelaki: GOH V SHEM-TAN WEE KIONG kln R. Satwik-S. Chirag Chandrashekhar 21-15, 22-20

Perseorangan wanita: SONIA CHEAH kk Saina Nehwal 11-21, 21-19, 9-21