Daren yang juga bekas pemain kebangsaan gagal ke pusingan kedua kejohanan bertaraf Siri Jelajah Dunia 750 itu selepas tewas kepada pemain Indonesia, Jonatan Christie 18-21, 17-21.

Katanya, dia tidak melakukan sebarang persiapan untuk Terbuka Malaysia kerana dia hanya dimaklumkan boleh beraksi di kejohanan itu kelmarin, selepas ada pemain yang menarik diri.

"Memang saya tidak risau kerana saya memang tidak bersedia untuk kejohanan ini tetapi saya fokus untuk Terbuka Thailand dan Singapura serta Indonesia.

"Saya juga akan melakukan latihan tambahan bersama Rashid (Sidek) sebelum ke Kejohanan Dunia dan Thailand adalah kejohanan terbaik untuk saya mempersiapkan diri sebelum ke sana," katanya yang merupakan juara Siri Super Terbuka Perancis 2012.

Mengulas mengenai kekalahan hari ini, pemain berusia 30 tahun itu berkata, dia sememangnya bergelut untuk beraksi memandangkan tiada sebarang persiapan dilakukan untuk pertandingan kali ini selain keadaan bulu tangkis yang agak perlahan.

"Punca kekalahan ialah, hari ini saya baru bermain dan saya hanya tahu akan beraksi Isnin lepas, jadi memang tiada sebarang persiapan.

"Saya akui, saya bergelut untuk bermain dan mungkin sebab sudah lama tidak bermain di sini, jadi susah nak biasakan diri," katanya. - UTUSAN ONLINE