Pemain berusia 31 tahun itu walau bagaimanapun terpaksa bekerja keras hingga ke set penentuan sebelum menundukkan pemain tidak ternama dari Jepun, Kenta Tsuneyama 22-20, 21-23, 22-20.

Daren akan bertemu Kento Momota dalam separuh akhir esok setelah pemain Jepun itu menewaskan B. Sai Praneeth dari India 21-12, 21-12.

Daren mengakui dia bakal berdepan cabaran besar esok terutama selepas di­timpa kecederaan di kaki kanan akibat terjatuh semasa beraksi menentang Tsune­yama.

“Masa jatuh memang rasa sakit tetapi dalam kejohanan ini saya tidak akan tarik diri melainkan saya sudah tidak boleh jalan.

“Esok memang sukar dan saya harap esok tidak sakit lagi supaya saya boleh main dengan lebih baik untuk cari tempat dalam final.

“Malam ini saya akan tengok dulu perlawanan lawan saya supaya boleh buat persiapan untuk perlawanan esok,” katanya.

Sementara itu beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying gagal meneruskan kemaraan selepas tewas 12-21, 21-11,10-21 kepada pilihan ketiga dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet.

Satu lagi wakil negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula tewas 14-21, 22-24 kepada Li Junhui-Liu Yuchen dari China.