KUALA LUMPUR 17 Jan. - Perseorangan lelaki, Liew Daren tidak berdepan masalah untuk mengesahkan tempat ke suku akhir kejohanan badminton Siri Jelajah Dunia 500 Malaysia Masters selepas mengetepikan pemain muda Denmark, Victor Svendsen, hari ini.

Daren yang merupakan pemenang pingat gangsa kejohanan dunia tahun lalu beraksi cemerlang dengan menundukkan Svendsen 21-18, 21-7 dan berkemungkinan besar akan berdepan
pilihan kedua dari China, Shi Yuqi untuk merebut tempat ke saingan separuh akhir.
Pemain berusia 32 tahun itu berkata, dia sememangnya yakin menang dalam perlawanan hari ini kerana sudah berjaya membiasakan diri dengan keadaan angin kuat semasa di dalam gelanggang.
“Memang ini kali pertama saya berjumpa dengan dia sebab sebelum ini saya tidak pernah nampak dia...maksud saya ialah mungkin saya tidak pernah sertai kejohanan yang dia sertai kerana dia bermain di Eropah.
“Saya juga akui latihan dengan (Viktor) Axelsen sebelum ini di Sports Affairs juga membantu saya dalam perlawanan hari ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE