Liew DAREN menjalani latihan di Stadium Badminton di Kompleks
LIEW DAREN menjalani latihan di Stadium Badminton di Kompleks Sukan Bung Karno, Jakarta semalam. – UTUSAN

Malaysia akan bertemu Jepun dalam perlawanan pertama Ahad ini dan kemenangan ke atas pasukan Negara Matahari Terbit itu akan meletakkan skuad negara ke pusingan seterusnya.

Ketua jurulatih perseorangan negara Datuk Misbun Sidek menyifatkan skuad negara sebagai underdog tetapi mampu memberikan cabaran sekiranya pemain perseorangan pertama dapat memberikan mata sulung, namun katanya Jepun bukanlah pencabar yang mudah.

“Seandainya perseorangan pertama boleh menyumbang mata, dua lagi pemain boleh cuba untuk memberikan mata.

“Saya melihat pemain-pemain kita tidak terlalu menghormati lawan mereka dan kita boleh mengagak kekuatan lawan, jadi tiada apa yang perlu dibimbangkan, hanya perlu ke gelanggang dan lawan sahaja.

“(Lee) Zii Jia merupakan antara pemain yang pertama kali beraksi dalam Sukan Asia, kalau diikutkan standard permainan lebih kurang Kenta (Nishimoto) dan dia lebih berpeluang untuk menang, tetapi peluang (Zii Jia) itu tetap ada,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Istora Senayan, di sini hari ini.

Sementara itu, ketua jurulatih beregu lelaki negara Paulus Firman berkata, meskipun Jepun memiliki kekuatan yang ketara namun peluang untuk pasukan negara meraih kemenangan tetap ada.

“Dalam perlawanan pertama dalam mana-mana kejohanan, apa sahaja boleh terjadi tetapi apa juga keadaannya kami percaya peluang itu tetap ada.

“Paling penting, pemain perlu fokus dengan permainan mereka dan cuba lakukan yang terbaik,” katanya.

Barisan pemain negara yang akan menentang Jepun hanya akan diputuskan esok selepas selesai sesi latihan terakhir. – UTUSAN