Selepas mengejutkan pilihan ke-13, Jonatan Christie dari Indonesia dalam perlawanan pembukaan semalam, pemain No. 38 dunia itu meneruskan rentak baik­nya dengan menyingkirkan pemain tidak ternama Israel, Misha Zilberman 21-16, 21-16.

Esok, Daren bakal berdepan tugas getir apabila menentang pilihan kelima dari India, K. Srikanth, namun dia sudah bersedia untuk melakar satu lagi kejutan, sekali gus meraih tiket suku akhir buat kali pertama.

Srikanth yang pernah menewaskan jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mengharungi perlawanan getir sebelum melangkah ke pusingan ketiga apabila diheret dalam ke set ketiga sebelum menyingkirkan Pablo Abian dari Sepanyol 21-15, 12-21, 21-14.

“Selepas mengalahkan Jonatan dalam pusingan pertama, keyakinan saya semakin naik dan saya gembira dengan permainan yang ditunjukkan setakat ini.

“Seperti yang saya katakan sejak awal, saya mahu pergi sejauh yang mungkin dan yang paling penting beraksi sebagai pemain profesional membuatkan tekanan itu sangat berkurangan.

“Perlawanan seterusnya cukup besar. Ya, memang saya meme­gang rekod pertemuan kami tetapi kemenangan terakhir saya adalah empat tahun lalu, jadi tidak boleh dijadikan ukuran.

“Apa pun, saya sudah bersedia untuk berdepan perlawanan ula­ngan dengannya dan harap dapat lakukan satu lagi kejutan,” kata juara Terbuka Perancis 2012 itu.

Daren, 31, memegang rekod pertemuan 2-1 ke atas bekas pemain No. 1 dunia, Srikanth de­ngan kemenangan pertama diraih dalam Terbuka Jepun 2012 dengan keputusan 17-21, 21-15, 22-20, di­ikuti dengan keputusan 21-15, 21-16 dalam Indonesia Masters 2014.

Dia bagaimanapun tewas kepada Srikanth dalam pertemuan terakhir di Terbuka New Zealand, Mei lalu dengan keputusan 18-21, 17-21.

Walaupun beraksi sebagai pemain bebas, namun Daren mengakui, dia turut terhutang budi kepada jurulatih kebangsaan Tey Seu Bock yang banyak membantunya sepanjang di Nanjing.

“Kehadiran Seu Bock sangat membantu. Dia tolong saya mengenal pasti kesilapan, selain membimbing saya sepanjang kejohanan. Untuk ini, saya me­ngucapkan terima kasih kepada BAM,” katanya lagi.

Seu Bock hadir di China untuk membimbing dua perseorangan wanita, Goh Jin Wei dan Soniaa Chea.