Daren, yang genap 31 tahun pada 6 Ogos ini hanya memerlukan 34 minit untuk menumpaskan pemenang pingat emas Sukan SEA 2017, Jonatan 21-12, 21-16.

Kemenangan tersebut mencerahkan peluang Daren untuk melangkah ke pusingan ketiga kerana bakal berdepan pemenang di antara dua pemain tidak ternama, Misha Zilberman (Israel) atau Niluka Karunaratne (Sri Lanka) pada pusingan kedua esok.

Daren menjadi satu-satunya wakil Malaysia dalam perseorangan lelaki selepas Datuk Lee Chong Wei terpaksa menarik diri akibat masalah kesihatan.

Cabaran Malaysia pada Kejohanan Dunia turut diteruskan dua beregu, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Soon Huat-Shevon yang masih segar dengan kejayaan muncul juara Terbuka Singapura tidak mengetepikan pasangan Belanda, Jacco Arends-Selena Piek 21-13, 21-17 pada pusingan kedua beregu campuran.

Pasangan muda negara, Aaron- Wooi Yik pula menumpaskan Chung Eui Seok-Kim Duk Young dari Korea Selatan 21-15, 21-18 untuk mara ke pusingan kedua beregu lelaki.

Soon Huat-Shevon yang turun sebagai pilihan ketujuh akan menentang pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Ashwini Ponnappa pada pusingan ketiga esok. Satwiksairaj-Ashwini mara selepas mengalahkan pilihan ke-15, Mark Lamsfuss-Isabel Herttrich dari Jerman 10-21, 21-17, 21-18.

Aaron-Wooi Yik, yang menerima bye pada pusingan pertama akan berdepan cabaran sengit pilihan ke-12, Lee Jhe-Huei-Lee Yang dari Taiwan.

Sementara itu, cabaran perseorangan wanita negara, Soniaa Cheah berakhir dengan kekalahan 15-21, 11-21 kepada pilihan ke-15 dari Jepun, Sayaka Sato. - UTUSAN ONLINE