Pemain berusia 31 tahun itu bagaimanapun terpaksa bekerja keras hingga ke set penentuan sebelum menang 21-12, 16-21, 21-11 dan akan berdepan Son Wan Ho yang mara selepas menewaskan K. Srikanth 21-23, 21-16, 21-17.


Pemenang pingat gangsa kejohanan dunia 2018 itu memberitahu, walaupun kali terakhir dia merangkul kejuaraan terbesar dalam kariernya di Siri Super Terbuka Perancis 2012 namun dia sentiasa yakin mampu melakar kejayaan meskipun terpaksa menunggu lama untuk merealisasikan impian itu.


Katanya, meskipun ramai tidak berkeyakinan dengan kemampuan dirinya tetapi dia masih memiliki keyakinan itu sehingga hari ini.


“Paling penting sekarang ini saya mahu naikkan segera ranking kerana saya tidak beraksi di Thailand Masters, jadi di sini saya perlu cemerlang bagi mencerahkan laluan untuk aksi kelayakan Sukan Olimpik.


“Walaupun ramai tidak berkeyakinan dengan saya tetapi saya tetap yakin dengan kemampuan saya selama ini. Kalau tidak saya tidak main hari ini,” katanya.


Mengulas mengenai pertemuan menentang Wan Ho, Daren sekali lagi mengulangi keyakinannya untuk menundukkan pemain itu selepas menewaskannya dalam edisi lalu.


“Perlawanan esok memang sukar, sebab dia juga adalah pemain utama dunia ketika ini tetapi saya pernah tewaskan dia di sini tahun lalu, jadi saya akan cuba sekali lagi esok,” katanya.- UTUSAN ONLINE