Daren yang pernah menundukkan Axelsen di pentas final Siri Super Terbuka Perancis 2012 gagal mengulangi pencapaian itu apabila tewas 15-21, 11-21 dalam kejohanan bernilai AS$350,000 (RM1.86 juta) di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini.

Kekalahan itu merupakan yang kedua buat Daren dalam tiga siri pertemuan selepas kali terakhir tewas di Siri Super Premier Terbuka Malaysia, 12-21, 13-21.

Pemain berusia 31 tahun itu mengakui permainan Axelsen jauh lebih baik berbanding dirinya namun dia tetap gembira dengan pencapaian dua aksi separuh akhir di Thailand Masters dan Malaysia Masters.

“Memang saya kepenatan, sebenarnya dari semalam saya sudah rasa penat tetapi berjaya ke separuh akhir adalah pencapaian yang baik untuk saya.

“Waktu awal tahun ini, ranking saya berada di kedudukan 90 atau 80, saya harap dengan dua pencapaian ini saya boleh berada dalam kelompok 50 terbaik,” katanya ketika ditemui selepas tamat permainan.

Axelsen akan bertemu pemain Jepun, Kenta Nishimoto dalam aksi final esok selepas dia berjaya menundukkan rakan Hans Kristian Vithhinghus 21-14, 21-19.- UTUSAN ONLINE