Menurut laman sesawang kejohanan www.bwfworldchampionships.com beregu campuran kesembilan dunia itu yang mendapat bye pada pusingan awal, menewaskan pasangan dari India, Saurabh Sharma-Anoushka Parikh 21-18, 21-11 pada aksi pusingan kedua di Pusat Sukan Olimpik Nanjing, hari ini.

Peng Soon-Liu Ying akan bertemu beregu dari England, Marcus Ellis-Lauren Smith pada pusingan ketiga esok.

Goh Soon Huat-Shevon Lai turut mara ke pusingan ketiga selepas mencatat kemenangan ke atas pasangan dari Belanda, Jacco Arends-Selena Piek 21-13, 21-17 untuk berdepan beregu dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Ashwini Ponnappa.

Namun nasib berbeza menimpa satu lagi pasangan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing selepas ditunjukkan jalan keluar oleh gandingan Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand setelah tumpas 12-21, 15-21.

Perseorangan lelaki tunggal negara Liew Daren turut mempamerkan aksi cemerlang dalam pusingan awal apabila menewaskan pemain ke-15 dunia dari Indonesia, Jonatan Christie 21-12, 21-16.

Dalam pada itu, pusingan kedua acara beregu lelaki akan menyaksikan pertembungan dua pasangan negara, antara Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang mendapat bye pada pusingan awal, berdepan gandingan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Yew Sin-Ee Yi mara ke pusingan kedua selepas mengalahkan M.R. Arjun-Ramchandran Shlok dari India, 21-14, 21-15 manakala satu lagi beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menumpaskan Chung Eui Seok-Kim Dukyoung dari Korea Selatan 21-15, 21-18, akan bertemu beregu Taiwan, Lee Jhe Huei-Lee Yang.

Pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah pula gagal meneruskan cabaran apabila tewas kepada pemain Jepun, Sayaka Sato 15-21, 11-21 dalam pusingan kedua. – BERNAMA