Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, Daren sememangnya layak untuk beraksi di kejohanan itu dan tiada sebab untuk tidak menyenaraikannya.

“Ini merupakan satu pengajaran buat barisan pemain perseorangan negara kerana Daren membuktikan kesungguhannya apabila layak ke Kejohanan Dunia walaupun kurang me­nyertai kejohanan.

“Pemain-pemain kita sudah diberikan pendedahan sewajarnya selain banyak menyertai kejohanan tetapi Daren lebih berjaya daripada mereka,” ka­tanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM di Akademi Ba­dminton Malaysia di Bukit Kia­ra, di sini hari ini.

Daren akan mengiringi ja­guh negara Datuk Lee Chong Wei ke Nanjing bersama-sama beberapa pemain lain terma­suk Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.

Turut beraksi di kejohanan itu ialah Soniia Cheah dan Goh Jin Wei berasama Vivian Hoo-Woon Khe Wei dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean.

“Bagi acara beregu campu­ran, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing akan beraksi di sana manakala Chan Peng Soon-Cheah Yee See akan digugurkan kerana kami mahu menaikkan kedudukan Goh Liu Ying untuk digandingkan bersama Peng Soon,” kata Mohamad Norza.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Norza memberi­ta­hu, Pang Cheh Chang dilantik sebagai ketua jurulatih beregu campuran yang baharu dan akan dibantu Chin Eei Hui berkuat-kuasa serta merta.

Katanya, Cheh Chang akan diberikan kuasa penuh untuk melakukan perubahan di dalam struktur latihan beregu campuran bagi memastikan pasangan negara berada dalam kelompok lima terbaik dunia.