WONG CHOONG HANN

Walaupun perjuangan Goh Soon Huat selaku kapten pasukan dan rakan-rakannya ternoktah pada suku akhir hari ini, namun, prestasi dan kematangan yang ditonjolkan menunjukkan peningkatan. Malah, mereka dilihat sudah mampu untuk memikul tanggungjawab lebih besar di pentas yang lebih mencabar pada masa depan.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann berkata, secara keseluruhan, pada penampilan kali ini para pemain telah mempamerkan fokus dan komitmen yang tinggi dalam setiap perlawanan yang dilalui mereka dalam kempen Piala Sudirman di Nanning, China.

"Inilah jenis komitmen dan semangat juang yang kita hendak daripada pemain muda. Supaya mereka memahami bahawa dalam pertandingan besar seperti Piala Sudirman ini, pemain harus belajar memikul tanggungjawab dan harapan yang disandarkan kepada mereka oleh rakan-rakan, diri sendiri dan juga negara.

"Selain itu, pada kejohanan kali ini, kita juga dapat lihat usaha gigih yang dilakukan oleh jurulatih dan pemain sendiri telah membuahkan hasil. Para pemain juga perlu memahami bahawa dengan usaha yang dilakukan akan nampak kejayaan akhirnya," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Pada perlawanan suku akhir hari ini, skuad badminton negara tewas 0-3 kepada pilihan kedua, Jepun. Beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang turun dalam aksi pertama gagal menyumbang mata awal buat negara meskipun telah menampilkan aksi memberangsangkan dengan mengheret permainan ke set penentuan.

Berikutan kecederaan dagu yang dialami Ee Yi selepas terkena kasut rakan sepasukannya ketika mereka sama-sama berusaha menyelamatkan serangan lawan, sedikit menjejaskan rentak permainan yang pada ketika itu terikat 19-19 dalam set penentuan.

Bagaimanapun pemain negara akhirnya terpaksa akur kepada gandingan No. 2 dunia, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda dengan kekalahan 21-13, 24-26, 21-23.

Mengulas mengenai kecederaan Ee Yi, Choong Hann berkata, pemain beregu lelaki negara itu telah menjalani rawatan dan kecederaan pemain itu tidak serius.

"Ia adalah isu kecil. Ee Yi telah menerima rawatan dan luka telah dijahit," katanya.

Wakil kedua negara, Soniia Cheah selaku perseorangan wanita turut gagal memberikan saingan kepada pemain No. 2 dunia, Nozomi Okuhara sebelum tewas 16-21, 13-21.

Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia membuktikan dia sekurang-kurangnya mampu menyaingi pemain kelompok utama dunia apabila memberi cabaran kepada Kento Momota sebelum tunduk 18-21, 16-21.

Kekalahan menyaksikan skuad negara sekadar mengulangi pencapaian dua tahun lalu di Gold Coast, Australia apabila turut mara ke suku akhir sebelum tewas di tangan Jepun 1-3. - BERNAMA