Keputusan itu menyaksikan, Lee Zii Jia diberi tanggungjawab untuk menggalas tugasan sebagai perseorangan utama negara di kejohanan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai berkata, keputusan untuk tidak menyenaraikan pemengang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu ke kejohanan berpasukan itu adalah atas nasihat doktor.

“Doktor yang merawatnya menasihatkannya untuk meneruskan proses pemulihan dan jangan letakkan tekanan ke atas dirinya.

“Ketika ini, kesihatan adalah perkara paling penting buat Chong Wei,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Kejohanan dwitahunan edisi ke-16 itu menyaksikan BAM mengambil keputusan untuk menghantar senarai pasukan yang terdiri daripada pemain lama dan muka baharu tanpa melibatkan pemain profesional termasuk Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) serta Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran).

Badan induk sukan badminton negara itu akan menyenaraikan 20 pemain ke kejohanan itu tetapi hanya akan membawa 16 pemain untuk beraksi dengan empat pemain diletakkan sebagai pemain gantian sekiranya berlaku sebarang kecederaan ke atas pemain sedia ada.

Selain Zii Jia, Soong Joo Ven dan Cheam June Wei diberi kepercayaan untuk menggalas cabaran dalam acara perseorangan lelaki manakala Goh Jin Wei, Soniia Cheah dan Lee Ying Ying akan meneruskan cabaran dalam acara perseorangan wanita.

Gandingan Aaron Chia-Soh Woi Yik akan diberi tanggungjawab dalam acara perseorangan lelaki bersama Teo Ee Yi-Ong Yew Sin bersama Nur Izzuddin Rumsani.

Beregu wanita menyaksikan BAM meletakkan kepercayaan kepada pasangan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen manakala Goh Soon Huat-Shevon, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta Chen Tang Jie akan bersaing dalam acara beregu campuran.

Dalam aksi di Nanning itu, Malaysia diundi dalam kumpulan 1D bersama juara 10 kali, China dan India.-UTUSAN ONLINE