Chong Wei yang bergelut dalam tiga perlawanan pertamanya setakat ini bakal berdepan laluan lebih getir pada separuh akhir esok apabila berdepan pemain sedang meningkat dari China yang juga pilihan kedua kejohanan, Shi Yuqi.

Yuqi, 21, yang mudah menumpaskan HS Prannoy dari India 21-15, 21-14 bagaimanapun tewas dalam semua tiga pertemuan terakhir menentang Chong Wei iaitu dalam All England, Mac lalu, selain Terbuka Jepun 2016 serta Terbuka Kanada 2015.

Kejayaan melangkah ke separuh akhir bukan sahaja meningkatkan keyakinan Chong Wei yang kembali ke gelanggang sebulan selepas tersingkir pada pusingan pertama Kejohanan Dunia di Glasgow, malah meletakkannya di landasan untuk mempertahankan kejuaraan Terbuka Jepun.

Bekas pemain No. 1 dunia itu juga adalah juara enam kali iaitu pada 2016, 2014, 2013, 2012, 2010 dan 2007.

Sementara itu, cabaran satu lagi wakil Malaysia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi berakhir di suku akhir selepas beregu lelaki negara itu kalah mudah 15-21, 18-21 kepada pasangan tuan rumah, Takuto Inoue-Yuki Kaneko.

Ini adalah penampilan terakhir buat pasangan muda negara itu yang bakal dipecahkan untuk membentuk gandingan baharu bersama Goh V Shem dan Tan Wee Kiong.

Kejohanan Terbuka Jepun turut menyaksikan juara dunia lima kali, Lin Dan dari China kalah kepada pemain No. 1 dunia, Son Wan Ho dari Korea Selatan 15-21, 15-21. - UTUSAN ONLINE