LEE CHONG WEI kelihatan hampa selepas kalah kepada Kenta Nishimoto di Arena Axiata, Kuala Lumpur semalam. utusan/SURIYA BONMA

Turut tersingkir adalah Chen Long, Son Wan Ho dan Chou Tien Chen.
Kejohanan di Arena Axiata menyaksikan Chong Wei tumpas 21-19, 18-21, 19-21 kepada pemain Jepun, Kenta Nishimoto dan kini hanya tinggal Liew Daren serta Lee Zii Jia bagi menggalas cabaran negara dalam kejohanan bernilai AS$350,000 (RM1.86 juta) itu.

Chong Wei, 36, mengakui persembahan yang ditampilkannya malam ini bukan yang terbaik kerana dia kurang melakukan persiapan dan pada kebiasaannya bulan Januari adalah tempoh berehat buat dirinya selepas tamat Siri Super Final Dubai.

“Selepas aksi di Dubai, saya selalunya akan berehat dan meluangkan masa bersama keluarga, dan jujur saya katakan kejohanan ini bukan sesuatu yang penting buat saya.

“Tetapi tidak mengapa, saya akan terus berikan fokus kepada sesi latihan untuk persiapan aksi kelayakan Piala Thomas,” katanya selepas tamat permainan.

Sementara itu, musuh tradisi Chong Wei yang juga juara dunia lima kali dari China, Lin Dan tewas 16-21, 21-18, 17-21 kepada Ihsan Mustofa Maulana manakala rakan senegaranya dari China, Chen Long kalah kepada Anthony Ginting 17-21, 15-21.
Lin Dan berkata, kebanyakan pemain utama dunia tidak mampu untuk memberi fokus kepada semua kejohanan yang disertai mereka seperti yang ditetapkan di dalam peraturan baharu Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
“Pemain utama akan lebih memberi fokus kepada kejohanan besar seperti All England, Kejohanan Dunia dan Sukan Asia,” katanya.