Pemain berusia 35 tahun itu mengambil masa sehingga 54 minit untuk menumbangkan wakil tuan rumah, Wei Nan dengan keputusan 21-23, 21-11, 21-12 pada pusingan kedua dalam aksi yang berlangsung di Hong Kong Coliseum.

Ini merupakan kemenangan ketiga pemain di ranking keenam dunia, Chong Wei ke atas pemain berusia 33 tahun itu sepanjang lima rekod pertemuan.

Chong Wei bakal berdepan wakil Korea Selatan, Son Wan Ho yang juga pilihan kedua kejohanan pada peringkat seterusnya esok, dengan beliau berpeluang bertemu musuh tradisinya, Lin Dan dari China jika kedua-duanya memenangi perlawanan suku akhir itu.

Dalam perkembangan berkaitan, gandingan baharu lelaki negara, Ong Yew Sin-Tan Wee Kiong turut mara ke suku akhir setelah mengatasi beregu campuran dua buah negara, Hendra Setiawan (Indonesia)-Tan Boon Heong (Malaysia) 17-21, 22-20, 21-12.

Bagaimanapun beregu negara terpaksa berdepan tugas berat apabila dijadualkan menentang pasangan No. 1 dunia Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia, esok.

Pasangan Indonesia itu telah menumpaskan satu lagi gandingan baharu, Goh V Shem-Teo Ee Yi pada aksi pembukaan kejohanan tersebut, semalam.- UTUSAN ONLINE