Namun, pemain nombor satu dunia itu enggan mendabik dada, malah akan memberi sepenuh tumpuan bagi merangkul gelaran ke-12 Terbuka Malaysia.

Selain itu, katanya, kehadiran penonton tempatan turut memberi suntikan semangat buat dirinya dalam misi memburu kejayaan di laman sendiri.

“Menang atau kalah saya akan berusaha menampilkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan nanti dan berharap penonton dapat memenuhi stadium untuk memberikan sokongan kepada saya serta rakan yang lain.

“Saya berjanji akan melakukan yang terbaik untuk memenangi kejuaraan kali ini,” katanya ketika ditemui di Stadium Perpaduan di sini, hari ini.

Pemain berusia 34 tahun itu berkata, meskipun menjadi pilihan utama dalam kejohanan kali ini, namun dia tidak memandang rendah kemampuan lawannya.

Katanya, dia juga tidak mahu terlalu banyak berfikir kerana ingin memberi tumpuan penuh kepada satu demi satu perlawanan.

Tambahnya, dia sebenarnya perlu lebih fokus kepada tahap permainan sendiri, bukan kepada lawan.

“Hal ini kerana saya tahu ramai pemain mahu mengalahkan saya di depan penyokong sendiri,” ujarnya.

Di sebalik tekanan yang bakal dihadapi lawan, katanya, dia akan menggunakan pengalaman 11 kali sebagai juara Terbuka Malaysia untuk mengekalkan kejuaraan.

Chong Wei berkata, ketika ini, dia yakin tiada pemain lain yang boleh memecah rekod dengan kejuaraan 11 kali tersebut.

Stadium Perpaduan yang menjadi venue kali ini pernah menyaksikan Chong Wei mencipta episod mendebarkan ketika mengalahkan Lin Dan dalam perlawanan akhir edisi 2006.

Ditanya mengenai kenangan tersebut, katanya, itu cerita lama yang berlaku 11 tahun lalu dan sudah pun dilupakannya.

“Keadaan sudah jauh berbeza sekarang, namun motivasi saya tetap masih tinggi setelah merangkul kejuaraan keempat Seluruh England bulan lalu,” katanya.

Siri Super Premier Terbuka Malaysia yang menawarkan hadiah keseluruhan US$600,000 (RM2.64 juta) akan berlangsung dari 4 hingga 9 April ini.