LEE CHONG WEI (kiri) menerima lawatan Khairy Jamaluddin di rumahnya, semalam. IG KHAIRYKJ

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu yang meluangkan masa melawati Chong Wei di rumahnya hari ini berkata, pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik tersebut hilang 5 kilogram, terutama jisim otot.

“Saya melawat juara hari ini. Dia kembali daripada rawatan kanser enam minggu di Taiwan. Hilang 5kg, terutama jisim otot. Prognosis (ramalan doktor) adalah bagus. Perlu menguatkan sistem imunnya.

“Saya bertanya, jika dia akan terus bermain. ‘Tidak sabar untuk kembali ke gelanggang’. Itu jawapannya,” tulis Khairy dalam Instagram.

Kata Khairy lagi, Chong Wei, yang akan menyambut ulang tahun ke-36 pada 21 Oktober ini berada dalam keadaan baik, malah semangatnya cukup tinggi.

“Malaysia mendoakan anda pulih sepenuhnya dengan segera,” tulis Khairy lagi.

Chong Wei sebelum ini disahkan menghidap kanser hidung tahap pertama, namun proses rawatan yang dilakukan di Taiwan berjalan baik dan dikatakan berjaya membunuh sel-sel barah.

Bekas pemain No. 1 dunia itu berkata, dia akan mengadakan sidang akhbar dalam masa terdekat untuk memberitahu mengenai perkembangannya, namun buat masa ini Chong Wei tidak mahu diganggu kerana memberi tumpuan kepada proses pemulihan.