Ia adalah penampilan kali pertamanya bersama kem Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sejak berehat daripada menjalani rawatan kanser hidung pada Julai lalu.

Chong Wei sebelum ini memberitahu beliau akan memulakan latihan lebih intensif pada Isnin ini.

Pada sesi latihan hari ini, dia tiba di BAM pada 8 pagi tadi ditemani dua jurulatih, Hendrawan dan bekas jurulatihnya, Datuk Tey Seu Bock.

Chong Wei yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik tiga kali itu bagaimanapun enggan memberi reaksi kepada media.

Kali terakhir penampilannya adalah dalam Kejohanan Terbuka Indonesia yang menyaksikan dia tewas pada separuh akhir kepada Kento Momota dari Jepun, Julai tahun lalu.

Kemudian pemain berusia 36 tahun itu menjadi tumpuan media apabila menarik diri dalam dua kejohanan besar tahun lalu iaitu Kejohanan Dunia di Nanjing, China dan Sukan Asia Indonesia kerana menghidap kanser hidung tahap satu.

Dia kini disahkan sembuh sepenuhnya daripada penyakit itu selepas menjalani rawatan hampir empat bulan di Taiwan.

Sementara itu ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek berkata, beliau gembira melihat anak didiknya itu kembali bersemangat dan ceria menjalani pemulihan hari ini.

Jelasnya, BAM memberi kebebasan kepada Chong Wei untuk membuat keputusan mengenai latihan dan kejohanan yang akan disertainya pada tahun ini.

“Saya tidak mahu mengganggu penampilan beliau. Saya rasa belum masanya lagi untuk berbincang secara lanjut mengenai persiapannya. Apa yang saya lihat tadi dia datang untuk melakukan pemanasan badan di gimnasium sahaja,” katanya kepada Bernama. - BERNAMA