Jelas Norza, beliau sering berhubung dengan pemain berusia 36 tahun itu, tetapi berkata Chong Wei hanya akan pulang ke tanah air setelah mendapat kebenaran daripada doktor.

“Kondisi Chong Wei baik dan positif. Dia kini banyak berehat kerana kesan daripada rawatan itu telah membuatkannya tidak selesa.

“Dia perlu berehat sehinggalah betul-betul sedia untuk pulang ke Malaysia,” katanya selepas menghadiri majlis pelancaran Liga Sepak Takraw (STL) bagi musim 2018 di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri oleh Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia, Datuk Seri Ahmad Ismail.

Hujung bulan lalu, BAM dalam satu kenyataan mengesahkan bekas pemain No. 1 dunia itu menghidap kanser hidung dan sedang menjalani rawatan di Taiwan serta dijangka pulang dalam tempoh dua minggu, iaitu berkemungkinan minggu ini.

Namun Norza menafikan laporan media yang mengatakan pemenang tiga pingat perak Olimpik itu dijangka pulang ke tanah air pada Ahad ini.

“Untuk pengetahun semua, perkara tersebut tidak benar kerana saya sendiri telah berhubung dengan Chong Wei pada Rabu lalu.

“Beliau kata beliau belum merancang untuk pulang ke Malaysia. Saya rasa bila beliau akan pulang itu bergantung kepada keadaannnya memandangkan rawatan sudah pun selesai.

“Walau bagaimanapun beliau kena mendapatkan kebenaran doktor sama ada boleh pulang atau tidak. Saya memang kerap berhubung dengannya dan sebarang perkembangan akan saya kongsikan bersama anda (media),” katanya.