Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu hanya memerlukan 33 minit untuk menang 21-13, 21-10 ke atas Kazumasa bagi menempah aksi menentang Lee Hyun Il yang menundukkan Suppanyu Avinhingsanon 21-18, 21-13.


 Bekas pemain No.1 dunia itu berkata, aksi hari ini bukan yang terbaik daripada dirinya terutama untuk 11 mata pertama di dalam set pertama kerana dia sedang berusaha menyesuaikan diri selain mencuba pelbagai pukulan dalam perlawanan itu.


 “Set pertama saya lebih banyak menyesuaikan diri dan selepas menang set pertama saya lebih yakin untuk menang pada set kedua.


“Saya akan terus fokus kepada permainan saya dan lakukan persiapan terbaik untuk pusingan kedua selain berdepan cabaran daripada pemain-pemain muda,” katanya ketika ditemui selepas tamat permainan. 


Dalam aksi terdahulu, pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei berjaya ke pusingan kedua selepas menundukkan Pai Yu Po dari Taiwan 21-13, 21-17 dan akan bertemu pemenang di antara Fitriani dari Indonesia dan pilihan ketujuh dari Korea Selatan, Sung Ji Hyun.-UTUSAN ONLINE